Tuesday, September 25, 2007

Komik Hong Kong vs Komik Jepun

Sedang duduk-duduk sambil mengecat buaian dihadapan rumah saya sebagai persediaan Hari Raya nanti, tiba-tiba saya teringat akan komik HunterXHunter yang sudah beberapa bulan saya menunggu volumenya yang ke-23 tapi sampai sekarang masih belum berada di pasaran. Huh, lamanya.. Tak sabar rasanya nak baca episodnya yang baru sebab ceritanya memang best. Sebab ia tak macam komik DragonBallZ yang hanya sekali baca sahaja sudah faham jalan ceritanya. Komik HunterXHunter memerlukan saya baca sehingga tiga, empat malah sepuluh kali baru boleh betul-betul faham (ke sebenarnya otak lembab ke tak taw la). Memang menguji pemikiran kita sebenarnya penulis komik tuh sebab menghasilkan idea yang pelik-pelik untuk komik tuh (rasenye la).

Kemudian saya mengimbas kembali peristiwa lalu setelah dengan tiba-tibanya satu persoalan meninjau dalam minda : "Sejak bile ek ako jadi hantu komik nih..?". Sejak dari tingkatan satu sebenarnya. Bermula dari meminjam komik abang-abang saudara, akhirnya saya membeli koleksi saya yang pertama yang tak akan saya lupa iaitu DewataRaya karya pelukis terkenal dari Hong Kong, Tony Wong. Dia memang terkenal disebabkan lukisannya yang cantik-cantik dan hensem-hensem belaka serta jalan cerita komiknya memang penuh aksi dan menarik, saya akui. Dengar cerita juga sampai ade orang yang jeles sampai nak potong tangan dier. DewataRaya mengisahkan tentang 2 orang sahabat baik HarimauHitam dan NagaMerah yang berkawan baik sejak kecil, tetapi apabila dewasa, mereka terpaksa bertarung sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai pendirian sendiri dan tidak sehaluan.


Selain itu, saya juga telah memiliki koleksi komik Alam Perwira juga karya Tony Wong. Rasanya komik ini sangat popular, semua peminat komik Hong Kong kenal komik ini sebab ia lah yang menaikkan nama Tony Wong di Malaysia. Komik ini mengisahkan tentang kekejaman Maharaja Zhou dalam Dinasti Shang dan muncul pula Ji Fat sebagai hero untuk menyelamatkan dan akhirnya menyatukan China yang berpecah belah. Saya juga memiliki sambungannya iaitu Hikayat Maharaja Qin yang jalan ceritanya diambil dari peristiwa sejarah negara China sendiri.


Sebenarnya ade banyak lagi komik Hong Kong yang saya baca tetapi tidak semua saya beli sendiri. Bagaimanapun koleksi yang paling saya sayang sekali ialah PendekarLaut (Generasi 1, 2 dan 3) yang mana saya memiliki koleksi ini dengan lengkapnya. Sebuah karya Wan Yat Leung dan Tang Chi Fai, ia mengisahkan tentang golongan yang menggunakan kuasa putaran medan magnetik kuasa kuda (hp) dengan diwatakutamakan oleh Pai Chueng Lang selaku PendekarLaut penegak kebenaran dan apabila bertarung setiap watak akan mengeluarkan corak belang tarung mereka yang tersendiri. Sungguh bergaya...


Akhirnya saya sudah mula bosan dengan komik Hong Kong yang semakin lama semakin mahal dan jalan ceritanya yang semakin membosankan kerana kelihatan seperti kehabisan idea. Setiap komik Hong Kong keluaran baru seperti tidak akan lari dari bayangan cerita-cerita yang lepas. Lalu akhirnya saya beralih kepada komik Jepun yang memiliki harga yang lebih kurang sama tetapi jalan ceritanya lebih panjang kerana bukunya lebih tebal (sebab cetakan tidak berwarna). Bermula dengan koleksi DragonBallZ karya Akira Toriyama, cerita tentang Super Saiya Son Goku yang dikenali ramai, saya juga memiliki koleksi YuYuHakusho karya Yoshihiro Togashi, cerita tentang Yusuke bersama tiga rakan karibnya yang menentang syaitan yang sering keluar masuk ke alam manusia (macam ajaran sesat gak bunyiknya).

Sehingga kini, saya juga memiliki koleksi lengkap Rave karya Mashima Hiro, PenyiasatRemaja HajimeKindaichi dan DetektifQ karya Seimaru Amagi dan Fumiya Sato serta yang terbaru HunterXHunter yang telah saya ceritakan sebgai intro tadi, yang masih belum tamat ceritanya walaupun di Jepun. Kesemua koleksi ini saya simpan di rak buku dalam bilik saya dalam keadaan tersusun bagaikan rak buku perpustakaan UKM.


Dan untuk komik Jepun ini, koleksi yang paling saya hargai adalah HunterXHunter, PenyiasatRemaja dan DetektifQ. Kenapa..? Hanya satu sebab : komik-komik ini menjadikan saya perlu berfikir secara kreatif dan mendalam untuk menghayatinya. Ia tidak seperti DragonBallZ. Dan mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya, jika saya meminati Hajime Kindaichi dan Q, adakah saya juga meminati DetektifConan? Jawapan saya : saya tidak berapa meminati DetektifConan kerana ceritanya yang agak tidak berapa realistik dan ade sket mengarut berbanding PenyiasatRemaja dan DetektifQ yang lebih 'truly human thinking'.

Sunday, September 23, 2007

Selamat Datang..! Meh La Masuk..!

Akhirnya berjaya... itu sajalah yang mampu saya katakan dalam hati untuk ditujukan kepada diri sendiri. Setelah lama mendaftar di blogspot, masih tiada penulisan yang dipamerkan untuk tontonan umum. Ini kerana pelbagai faktor seperti kekurangan ilmu mengenai bahan-bahan dalam komputer (betul ke istilah ni) dan juga kesibukan yang tidak menentu sering menjadi penghalang untuk saya duduk di kerusi meja komputer dan menaip untuk blog (tapi kalo men TornCity memang punctual timing). Bagaimana pun, galakan daripada kengkawan menjadi sokongan, dorongan dan segala macam gerangan untuk meneruskan kerja-kerja penulisan seperti ini terutamanya rakan seperjuangan yang baru 3 tahun saya kenal, saudara Abdul Qaiyum Borhan.

Saya teruskan lagi dengan membuat sesi LDK yang pertama iaitu pengenalan diri. Saya merupakan anak jati Melaka kerana dari keturunan saya memang dari dulu sampailah ke ibubapa saya semuanya orang Melaka. Merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) dalam bidang sains hayat. Juga merupakan bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah berkonvo pada awal bulan Ogos yang lepas dalam bidang mikrobiologi. Dan kini merupakan seorang yang sedang mengusahakan ladang anggur di belakang rumah. Hahaha...

Rasanya sudah cukup molek tentang intro mengenai diri saya yang telah saya introkan tadi. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih, silalah hubungi saya di blog saya ini. Oh ade satu lagi perkara terakhir saya ingin tambah iaitu mengenai minat saya terhadap muzik. Jika ada antara anda yang merasakan mempunyai haluan yang sama dengan saya bolehlah menghubungi saya untuk kita bersama-sama bertukar dan berkongsi pendapat (dan bukannya pasangan). Sebagai penutup untuk post saya yang pertama, nikmatilah lagu di bawah ini yang dibawakan oleh Blind Guardian, sebuah kumpulan metal yang berasal dari Jerman, dengan lagu The Bard's Song (In The Forest). Sekian.. =)



DIMANAKAH ANDA...?


Profile Visitor Map - Click to view visits