Tuesday, October 30, 2007

Menu Super Hebat

"Menu super hebat.." Apakah sebenarnya yang anda faham dengan frasa tersebut..? Menurut kajian rambang yang saya lakukan terhadap beberapa puluh orang yang saya temui, terdapat dua jawapan yang paling kerap diberikan untuk frasa tersebut iaitu sama ada
  • Makanan yang punyalah sedap giloss tahap gaban kesatria baju hitam
  • Makanan yang harganya mahal cam kat hotel dan ia berserta hiasan yang cukup unik tahap Dewa 19

Tetapi pada kali ini, saya ingin memperkenalkan kepada anda sekumpulan hidangan ingin saya kategorikan juga sebagai menu super hebat yang mana harganya takdelah mahal sangat, tidak memerlukan hiasan ala KLCC serta takdelah juga sedap sangat, tetapi bila dimakan rasa puas hati. Cuma yang istimewanya menu ini adalah rupanya yang sangat pelik. Terima kasih diucapkan kepada sahabat saya, saudara Padlee Akirul, yang berasal dari Pulau Bum Bum, Semporna Sabah, kerana memperkenal dan menghidangkan kepada saya menu tersebut iaitu Sotong Dakwat, Siput Gedabak dan Ubi Keletuk ketika saya mengunjungi rumah sewanya (name menu tuh ako men tibai jek.. hehe..).

Sotong Dakwat... Namanya sahaja sudah terlalu gah, cukup untuk membuatkan orang yang mendengar namanya berasa gerun. Cara membuatnya sangat simple. Anda hanya perlu membakar sotong tersebut tanpa mengeluarkan isi-isi dalaman sotong tersebut terutamanya dakwat sotong itu. Sotong yang dibakar itu pula bukan sebarangan sotong. Anda perlu mencari sotong yang berwarna putih atau kadangkala ada yang berwarna kekuningan, bukannya sotong kaler purple yang mudah didapati di pasar-pasar. Kemudian, setelah siap dibakar, makanlah dengan begitu sahaja, dengan dakwatnya sekali. Kadangkala ada juga yang lebih suka memakan sotong dakwat dengan cara mengeluarkan dakwatnya terlebih lalu digaul rata bersama sotong lalu terus makan. Sotong dakwat juga sesuai untuk kecantikan penampilan diri kerana ia menjadikan gigi anda hitam berseri, sesuai untuk ke majlis seperti Parti Halloween.


Siput Gedabak... Makanan ini sangat mudah dibuat. Anda hanya perlu mendapatkan siput gedabak yang bersaiz besar (maaf saya tiada gambar asal siput itu) lalu tumiskan seperti biasa dengan bawang dan sebagainya. Setelah siap, bolehlah dimakan begitu sahaja atau makan dengan nasi, roti dan roti canai.


Ubi Keletuk... Yang ini lagilah mudah untuk dibuat. Anda hanya perlu menghancurkan ubi sehingga menjadi ketulan-ketulan kecil seperti nasi. Lalu ia dimakan seperti nasi. Saudara Padlee menghidangkan ubi keletuk tersebut kepada saya ketika itu untuk dijamah bersama sotong dakwat dan siput gedabak. Untuk lebih menarik lagi, anda juga boleh menambah kelapa parut, garam, gula dan sebagainya. Lebih kurang macam kuih ubi ketuk jugak sebenarnya.


Demikianlah di atas tadi menu yang serba ringkas tetapi menarik untuk dicuba sebenarnya. Selepas ini, tuan-tuan dan puan-puan bolehlah mencuba di rumah untuk dihidangkan sebagai makan tengahari, minum malam atau pun berbuka puasa bersama keluarga. Sekiranya anda ada persoalan tentang menu di atas, jangan hubungi saya tetapi sila hubungi terus kepada saudara Padlee Akirul di link yang telah saya sediakan pada namanya. Ini kerana, beliau lebih arif tentang masakan tersebut.

Sebenarnya untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, saudara Padlee ini sangat pakar dalam bidang masak-memasak makanan laut yang pelik-pelik. Pernah suatu ketika di Pulau Pangkor, beliau telah menghidangkan kepada saya abalone dan juga landak laut untuk dimakan secara mentah-mentah. Memang menggelikan tetapi sebenarnya agak sedap juga.

Ok, sekian saja. Selamat Mencuba...

Sunday, October 28, 2007

Suatu Perjalanan ke Sabak Bernam

Huh... Memang beraya sakan nampaknya. Tetapi memandangkan terdapat juga beberapa komitmen lain yang menghalang kesempatan saya untuk duduk di meja komputer dan menulis blog, maka agak lama juga saya menyepi. Akhirnya pada malam ini saya berkesempatan juga menulis cerita baru. Biarlah post yang pertama selepas Hari Raya ini dimulakan dengan cerita jalan-jalan beraya. Mungkin sudah ramai yang menceritakan tentang balik beraya di kampung masing-masing, tetapi pada kali ini saya ingin menceritakan tentang balik beraya di rumah keluarga angkat di Sabak Bernam.

Bermula dari Bandar Baru Bangi, Selangor dengan 4 buah kereta, kami bergerak menuju ke Ijok, Selangor terlebih dahulu ke rumah seorang rakan di sana, saudari Herda Suzana Zainal Abidin. Secara tidak langsung, rumahnya menjadi rumah pertama kami kunjungi. Seterusnya kami ke rumah seorang lagi rakan kami, saudari Nur Ain Hussin di Sekinchan, Selangor, mengambilnya bersama dan juga rumahnya menjadi destinasi kedua kami.

Seterusnya, bermulalah perjalanan ke rumah setiap keluarga angkat masing-masing yang terlibat dalam jalan-jalan beraya ini. Rumah keluarga angkat saya menjadi destinasi pertama kami. Saya yang menjadi adik-beradik angkat bersama saudara Muhd Suffian Rusli, dipeluk rindu oleh emak angkat yang boleh kami katakan sudah setahun lebih tidak berjumpa (malula nak citer sebenarnye..). Nasib kami agak baik kerana emak sekeluarga baru sahaja pulang dari Pahang hari semalamnya. Ini kerana di dalam perancangan saya dan rakan-rakan, kami tidak meng'inform'kan terlebih dahulu kepada keluarga angkat tentang kedatangan kami, takut-takut kalau beritahu, nanti ada lebih sepuluh rumah kami nak kunjungi semuanya menghidangkan makanan yang dahsyat-dahsyat kuantitinya, mane larat nak abeskan beb.. haha.. Maklumlah, kebanyakan keluarga angkat kami di Sabak Bernam semuanya berketurunan Jawa, biasanya orang Jawa memang peramah melayan tetamu, macam-macam makanan akan dihidangkannya nanti.

Setelah puas berada di rumah mak angkat saya, kami meneruskan lagi perjalanan ke rumah keluarga angkat yang lain. Lebih kurang ada sepuluh rumah kami kunjungi. Kalau nak ceritakan semuanya memang x muat ruangan ini. Maka dengan cerita rumah pertama di atas tadi saya rasa cukuplah tu. Kami pulang pada waktu malamnya dan sampai di Bangi lebih kurang pukul 1 pagi. Memang penat perjalanan pada hari tersebut. Bukannya penat berjalan, tetapi penat makan. Hahaha...

Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara menarik lagi ajaib yang kami lihat di dalam perjalanan kami ini iaitu :
  1. Walaupun kami tidak inform kepada keluarga angkat tentang kehadiran kami, mereka tetap berkesempatan menghidangkan menu-menu yang dahsyat-dahsyat seperti mee kari jawa, sup cendawan dan sebagainya.
  2. Walaupun hampir setiap rumah menghidangkan menu yang memang best-best, tetapi setiap daripada rumah ini menghidangkan menu yang berlainan, tiada yang sama (macam diorang dah pakat plak).
  3. Dan juga dari perjalanan beraya ini, saya baru mendapat tahu bahawa emak angkat saya hebat dalam bermain organ. Wow...
Dan pada keesokannya pula, ada satu lagi open house di rumah sahabat saya yang selalu kalah main pool di ym dengan saya (jangan mare.. hehe..), iaitu saudara Abdul Qaiyum Borhan. Terima kasih kepada saudara Qaiyum kerana sudi menjemput saya datang ke rumah anda. Laksa Penang yang anda buat tu memang sedap... huhu...

Sekian sahaja cerita secara ringkas jalan-jalan raya saya. Untuk melihat lagi gambar-gambar perjalanan kami, sila ke koleksi azrinbestphoto saya..

Sekian, terima kasih.

Thursday, October 11, 2007

3 Kisah Keinsafan Di Penghujung Ramadhan

Tinggal 3 hari sahaja lagi masa untuk kita bersama bulan Ramadhan. Memandangkan syawal sudah terlalu hampir, maka pada pagi tadi saya menemani emak saya membeli barang-barang keperluan di kawasan Kampung Jawa, Melaka. Tiba di sebuah kedai langsir, emak saya turun di situ, lalu saya teruskan memandu untuk mencari tapak meletak kereta. Kemudian, saya menunggu emak saya di hadapan sebuah kedai borong barangan runcit. Di sini saya menemui tiga kisah keinsafan yang sebenarnya simple sahaja ceritanya, tetapi kalau difikirkan secara pandangan yang pelbagai, macam-macam perkara kita boleh dapat. Hayatilah kisah-kisah di bawah ini :


Kisah 1 - Orang Tak Puasa
Di sebelah kedai borong tempat saya menunggu terdapat sebuah restoran cina. Sedang saya berdiri di situ, tiba-tiba muncul sebuah motor lalu berhenti di hadapan restoran cina tersebut. Pemuda yang menunggang motor itu membuka helmetnya. Ohh.. seorang remaja Melayu (rasa-rasanya lah). Remaja itu kemudiannya masuk ke restoran cina tersebut. 10 minit kemudian, dia keluar semula dengan beberapa bungkusan makanan serta minuman dan yang paling sempat saya kenalpasti adalah milo ais.

Saya rasa tekaan saya tidak silap bahawa penunggang motor itu adalah budak Melayu. Sebab semasa dia hendak keluar dari restoran itu, beberapa pekerja berbangsa cina di restoran itu memandang agak serong terhadapnya. Memang memalukan. Dahlah tak puasa, beli makanan kat kedai cina pula. Seolah-olah langsung tiada pertimbangan terhadap haram dan halal akan makanan yang dimakannya.


Kisah 2 - Makcik Yang Membeli Mercun
Dialog di bawah ini adalah antara seorang makcik yang dirahsiakan namanya dengan seorang penjual mercun di gerai mercun yang terletak kira-kira 20 tapak dari kedai borong tempat saya menunggu.
Makcik X : Dik, mercun naga ada jual tak..?
Penjual Y : Ade kak. Ni ha.
Makcik X : Ni macam mana nak maen nih..?
Penjual Y : Alah. Akak bakar pastu akak baling jek.
Makcik X : Ooo.. nanti dia kuar naga ek..
Penjual Y : Aah. Nanti siap ade bunyik pop prop pop pop.

Sayu sungguh saya mendengar perbualan itu. Untuk siapakah makcik ini beli mercun..? Mungkin untuk anaknya kerana tak mungkin makcik ini yang nak main. Tetapi, tidakkah makcik ini membaca suratkhabar tentang berita kemalangan mercun yang menimpa kanak-kanak nampaknya semakin ketara di penghujung Ramadhan ini..?


Kisah 3 - Ibu Yang Mencuri Minyak
Kisah yang ini pula saya ternampak secara tidak sengaja. Sedang saya berdiri, tiba-tiba ternampak seorang ibu yang mendukung anaknya mengambil sepaket minyak yang terletak di luar kedai runcit itu lalu memasukkannya ke dalam beg kertas yang dibawanya. Kemudian, dia terus berjalan pergi laju-laju. Tetapi ketika dia hendak pergi itulah, dia terperasan bahawa saya sedang memerhatinya.

Sehingga kini, saya masih tidak menyalahkannya. Kerana keadaan ibu dan anak itu amat daif. Saya melihat dia seolah-olah terpaksa mencuri minyak kerana ingin memasak untuk anaknya atau menjual minyak itu bagi mendapatkan duit. Sebab itulah saya tidak bertindak menahannya pada ketika itu atau mereport kepada tauke kedai borong itu. Bagaimana pun, mencuri itu tetap tidak baik. Sesempit mana pun keadaan kita, carilah rezeki yang halal.


Begitulah 3 kisah keinsafan yang saya lihat sendiri di penghujung Ramadhan ini. Terpulanglah kepada bagaimana anda melihat cerita-cerita ini. Sekiranya baik, ambillah sebagai pengajaran dan teladan. Sekiranya buruk, buanglah ia dan jangan disimpan...

Monday, October 8, 2007

Setiap Kali Hampir Waktu Berbuka.. Dia Pasti Akan Datang...

Setiap petang aku akan sibuk mengecat rumah. Maklumlah, raya tidak sampai seminggu saja lagi. Dan seperti biasa, aku akan berhenti 10 minit sebelum pukul 7 malam. Bahagian-bahagian lain yang masih belum dicat itu akan aku sambung keesokan hari. Lagipun, waktu berbuka di Melaka agak awal sekarang ini. Pukul 7.02 malam sudah pasti bilal di surau tamanku akan melaungkan azan Maghrib.

Lalu aku ke bahagian belakang umah untuk membasuh segala berus dan roller yang telah digunakan. Di bahagian belakang rumahku terdapat satu longkang besar yang aku pasti tidak dapat dilepasi oleh seorang manusia dengan hanya melompat. Longkang ini bagaikan menjadi satu alat dalam sistem perparitan yang penting dalam kawasan perumahanku. Sebab itulah rumahku tidak pernah mengalami masalah banjir.

Ketika aku sedang membasuh, tiba-tiba sayup-sayup kedengaran satu suara, yang sungguh sayu bunyinya, tetapi agak merdu juga, dan berulang-ulang, seperti mahukan sesuatu. Suara tersebut muncul di sebalik semak-samun yang terletak di kawasan melepasi longkang besar di belakang rumahku itu. Oh.. Aku kenal suara itu. Sudah hampir waktu berbuka, sebab itulah dia datang.

Kelihatan si comel sedang berjalan keluar dari semak samun menuju ke tepi longkang supaya kehadirannya lebih mudah diperasani oleh orang lain. Si comel yang berwarna hitam, putih dan oren itu akan mengiau-ngiau untuk meminta makanan. Dan seperti biasa adikku akan memberikan makanan kepada si comel yang tengah lapar itu. Apabila sudah mendapat makanannya, maka senyaplah si comel itu.

Selepas puas mengisi perutnya, si comel akan bersuara sekali lagi, tetapi dengan nada yang lain sedikit. Seolah-olah cuba mengucapkan terima kasih, lalu si comel itu pergi. Dan azan maghrib pun berkumandang, menandakan masuknya Maghrib dan waktu berbuka.

Dan aku yakin, besok si comel itu pasti akan datang lagi.. setiap kali hampir waktu berbuka..

Inilah si comel yang pasti akan muncul di belakang rumahku setiap kali hampir waktu berbuka. Jika anda ingin melihat si comel ini dengan lebih dekat lagi, silalah ke koleksi bestphoto saya.. =)

Saturday, October 6, 2007

Taktik Pasti Jual Peniaga Pasar Sempena Hari Raya...!!

Saya ingin berkongsi bersama anda dua buah kisah benar yang berlainan, tetapi berlaku di tempat yang sama pada hari yang sama. Sila baca dan fahamkan betul-betul akan situasi yang berlaku seolah-olah anda berada di sebelah saya ketika peristiwa berlaku.


Cerita 1 (perenggan pemahaman)
Saya mengikut seseorang ke pasar. Sebaik menjejakkan kaki ke pasar, saya ingin ke kedai buah terlebih dahulu untuk membeli buah oren. Kedai-kedai buah di situ dimiliki oleh peniaga-peniaga berbangsa Cina. Apabila sampai di salah satu kedai buah, saya terkejut kerana buah oren dijual dengan harga RM1.20 sebiji berbanding 60 sen sebelum ini. Buah-buah lain juga telah naik harga. Contohnya buah pear dijual dengan 80 sen sebiji (harga sebelum ini 50 sen sebiji) dan buah naga dijual dengan harga RM6.00 sekilogram (harga sebelum ini RM4.00 sekilogram).

(tamat cerita 1)


Cerita 2 (dialog pendek)
Encik A - pelanggan yang hanya ingin bertanya tentang harga
Makcik X - tokey ayam berbangsa Melayu yang sudah biasa menjual ayam secara borong ratusan ekor

Kisahnya...
Encik A : Assalamualaikum kak. Nak tanye sket la, skang harga ayam brape ek sekilo..?
Makcik X : Eh takde. Ayam dah habis. Bekalan tak cukup skang nih.
Encik A : Ooo.. Ok.

(tamat cerita 2)


Persoalan Di Dalam Kepala Saya
1) Kenapa harga buah-buahan di pasar boleh naik sampai 80% - 100%..?
2) Kenapa ayam boleh tak cukup sedangkan sebenarnye bekalan ayam
memang cukup..?

Jawapan Di Dalam Kepala Saya
Kerana hari raya bakal menjelang dalam seminggu sahaja lagi. Jadi peniaga menggunakan peluang untuk menaikkan harga barang makanan. Dalam teori perniagaan yang pernah diajar oleh rakan saya, saudara Padlee Akirul, harga makanan memang akan sentiasa naik dan tidak/susah untuk turun. Dan pengguna pula tetap akan membelinya walau berapa harganya sekalipun kerana Makanan Adalah Keperluan Paling Asas Dalam Hidup. Sebab itulah taktik memboikot ayam yang dianjurkan oleh CUEPACS, FOMCA dan MTUC itu dilihat sebagai tidak berjaya (walaupun boleh untuk dijayakan). Maka walaupun harga buah naik, pengguna tetap akan beli. Dan walaupun tokey ayam sembunyikan ayam supaya harga ayam naik nanti, pengguna tetap akan beli. Lebih-lebih lagi dah nak dekat raya nih, mane bley beb x beli ayam ngan buah..

Solusi Di Dalam Kepala Saya
Boikot beramai-ramai untuk tidak membeli kerana kuasa membeli di tangan pengguna. Nanti bila peniaga rasa sakitnya diboikot, barulah mereka turunkan semula harga. Tetapi susah juga kalau nak boikot. Sebab pengguna juga yang sakit nanti lebih-lebih nak dekat raya nih. Kesimpulannya, beli je lah. Tetapi dalam kadar yang berpatutan. Kalau rasa buah-buahan kini sudah mahal sangat, gantilah buah dengan makanan berkhasiat lain yang lebih murah. Contohnya roti jagung, roti perancis dan sebagainya. Dan pasaraya-pasaraya besar juga biasanya tetap akan menjual buah dan ayam dengan harga yang berpatutan di kala peniaga-peniaga pasar menaikkan harga sempena musim perayaan tertentu. Maka, anda sebagai pengguna menentukan jalan mana yang perlu anda pilih. Bijaklah berbelanja. Ingatlah, Kuasa Membeli Di Tangan Pengguna. Peniaga tidak berhak memaksa anda membeli barangan yang mereka jual.

(p.s. : rasa tercabar tak iman bile tengok gambo ayam panggang ngan buah oren tuh.. muahaha..)

Friday, October 5, 2007

Dewa 19

Dewa 19 - satu nama yang rasanya tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia, apatah lagi rakyat Indonesia. Sebuah kumpulan muzik yang berasal dari Surabaya dan dianggotai oleh Ahmad Dhani (gitar), Andra (gitar), Tyo Nugros (drummer), Yuke (bass) dan Once (vokal), saya boleh katakan mereka sebagai hebat, penuh kontroversi, ajaib, pelik dan macam-macam lagi. Jadi pada hari ini saya akan bercerita mengenai 'Kenapa saya suka Dewa 19?'.

Saya mula meminati kumpulan Dewa 19 ini pada ketika munculnya album Laskar Cinta. Tapi masa tu cuma minat biasa-biasa saja, sebab pada ketika itu saya suka melayan lagu-lagu rock. Maka lagu Pangeran Cinta dalam album itu menjadi lagu yang diminati. Kemudian diikuti oleh lagu-lagu lain termasuk dari album-album sebelumnya seperti Pupus, Mistikus Cinta dan Arjuna. Tapi entah kenapa lagu dari albumnya yang awal-awal tidak berjaya menarik minat saya. Mungkin lagunya pada ketika itu saya rasakan sebagai agak membosankan muziknya.

Terdapat satu perbezaan perasaan apabila saya mendengar lagu-lagu Dewa 19 berbanding kumpulan lain. Contohnya kumpulan Radja. Apabila pertama kali mendengar lagu Radja, saya rasa sangat teruja kerana lagunya sangat menarik, tetapi selepas seminggu kerap mendengar di radio, saya sudah mula rasa bosan. Berbanding apabila mendengar lagu Dewa 19, lagunya menarik tetapi tidaklah saya rasa terlalu teruja. Tetapi walau pun berulang kali mendengar lagunya, tetap tidak akan rasa bosan.

Maka saya dan rakan seperjuangan muzik saya, BH Band di UKM, mula mengkaji lagu-lagu Dewa 19 untuk dibawa jamming bersama. Berbekalkan dengan sedikit ilmu-ilmu jazz yang pernah diturunkan oleh salah seorang Pegawai Kebudayaan di UKM, barulah saya mengetahui sebenarnya betapa jahatnya lagu-lagu Dewa 19 ini yang boleh saya kategorikan sebagai rock semi jazz. Penggunaan coding dalam lagunya amat pelik selalunya. Contohnya perjalanan kod-kodnya hanya secara penurunan dan penaikan secara 'half note' sahaja seperti dalam lagu Satu dan penggunaan hanya sedikit kod sahaja (3 hingga 5) tetapi lagunya panjang dan berlainan emosi pada setiap bahagiannya seperti lagu Larut dan Pangeran Cinta. (Cam gini pon bley jadi lagu ke..?) Dan lagu terbarunya, Dewi, memberi sentuhan kelainan kepada saya apabila menggunakan kod-kod 'seventh' di dalam 'circle of four'. Malah ada banyak lagi yang saya fikir sebagai rahsia di dalam lagu-lagu Dewa 19 belum dapat saya ungkaikan sepenuhnya. Kadangkala lama juga saya duduk berfikir tentang lagu-lagu Dewa 19 lalu saya merasakan bahawa pencipta lagu-lagu kumpulan ini yang juga gitaris Dewa 19, Ahmad Dhani, telah menemui satu pintu coding muzik yang sesat tetapi boleh diterima dan tidak sesat sebenarnya (inilah yang saya gelar sebagai 'planetik').

Bagaimanapun selain daripada Dewa 19, ada satu lagi kumpulan muzik Indonesia yang bagi saya hebat juga muziknya iaitu Samsons. Sekiranya ada masa nanti mungkin saya akan bercerita mengenainya pula. Dan bukanlah niat saya untuk memperkecilkan artis-artis di Malaysia dengan membuat satu post mengenai artis Indonesia, kerana ramai juga artis di Malaysia yang saya akui memiliki lagu yang berkualiti malah ada yang bagi saya telah menjadi legenda. Jika ada ruang, mungkin saya juga akan memuatkannya di blog saya suatu hari nanti.

Mengenai kontroversi Dewa 19 yang dikaitkan dengan yahudi, saya tidak ingin mengulas apa-apa mengenainya kerana Ahmad Dhani sudah menjelaskan segala-galanya. Mengenai kebenaran kata-katanya pula, hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bagaimanapun jika anda berminat untuk mengetahui serba sedikit mengenai isu tersebut, saya sudah menyediakan link di bawah kepada beberapa laman web yang mempunyai ulasan tentang kontrovesi tersebut.

Dewa Tak Berniat Menarik Laskar Cinta

Dewa Mengganti Sampul Album Laskar Cinta

Buah Pahit Untuk Dewa

Sekian..

Wednesday, October 3, 2007

Kalau Susah-susah Sangat, Batalkan Sahaja Pilihanraya Kampus...

Setelah sekian lama menyepi, akhirnya saya kembali setelah sibuk dengan kerja-kerja luar yang menghalang saya untuk duduk di meja komputer dan menaip. Dan pada ketika saya menaip post saya ini, saya pasti universiti-universiti di Malaysia kini sedang sibuk mengira bilangan undi kerana hari mengundi telah dijalankan pada siang hari tadi.

Pilihanraya kampus (PRK) diwujudkan sebagai satu medan untuk mencari bakat kepimpinan yang terpendam dalam diri pelajar universiti. Hasil pemilihan pelajar-pelajar yang diundi sendiri oleh mahasiswa/i universiti sendiri ini kemudiannya dikelompokkan dalam satu kumpulan yang dipanggil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Kumpulan inilah yang akan menyuara dan memperjuangkan hak mahasiswa di dalam kampus, membela kebajikan dan sebagainya.

Ahh.. cukuplah untuk bercerita tentang fungsi MPP di dalam kampus dan sebagainya. Sudah banyak orang bercerita tentangnya. Cuma satu yang terlintas di fikiran saya : Sejauh manakah relevannya PRK ini dalam mencari pemimpin pelajar yang mampu memimpin pelajar sebenar-benarnya..?

Kita sibuk bercerita tentang situasi politik kampus terutama di IPTA yang dipengaruhi oleh golongan pro-kerajaan dan pro-pembangkang yang sebenarnya dipengaruhi oleh gerakan politik luar tetapi masih tidak diakui oleh pentadbiran universiti. Kenapa tidak wujud hanya calon bebas yang tidak mewakili apa-apa kumpulan sekalipun, yang mana calon tersebut hanya mewakili satu perkara iaitu MAHASISWA/I..? Secara tidak langsung kita perlu sedar bahawa apabila wujudnya calon yang mewakili kumpulan tertentu, secara tidak langsung 'mahasiswa/i' ini sebenarnya sudah berpecah. Anda tidak percaya..? Senang je kalo nak citer, tengoklah keadaan kampus beberapa hari sebelum pilihanraya. Mahasiswa/i yang ada akan sering bertindak dalam keadaan penuh was-was dan berprasangka terhadap rakannya yang berlainan ideologi walaupun sebelum ini mereka berkawan baik seperti biasa.

Mungkin ada diantara anda yang berpendapat : Alah, time pilihanraya jek, abes je pilihanraya maka xde pape lagilah. Memanglah, sebab habis sahaja pilihanraya tahun itu, maka habislah. Tetapi bila datang sahaja pilihanraya tahun seterusnya pula, maka berulanglah perkara yang sama. Kesimpulannya, perkara yang dikatakan habis sebenarnya tidak habis-habis.

Saya tidak berminat untuk memihak kepada mana-mana pro-kerajaan atau pro-pembangkang, kerana bagi saya mana-mana tetap sama sahaja. Jika pro-kerajaan dikatakan menggunakan taktik kotor tertentu, saya percaya pro-pembangkang juga menggunakan taktik kotor. Tak perlulah saya menceritakan panjang-panjang tentang perkara ini. Siapa makan cili, dialah yang terasa pedas.

Kadang-kadang saya terfikir, mungkin lebih baik jika calon dinamakan secara individu. Ini kerana, apabila berkempen mahasiswa/i yang akan mengundi melihat calon secara kehebatan individu, bukan kehebatan kumpulan pro tertentu, atau takut akan ugutan tertentu. Maka, secara tidak langsung, mereka yang terpilih menjadi MPP itu adalah mereka yang layak untuk menjadi harapan sebenar kepada pengundi dalam menjaga kebajikan mereka. Dan MPP yang terbentuk dengan cara ini saya yakin pasti akan memperjuangkan hak mahasiswa secara sama rata dan sepenuhnya tanpa memilih siapakah atau dari kumpulan manakah mahasiswa yang mengadu itu kerana tiada masalah berlainan ideologi politik. Itulah yang berlaku di kebanyakan IPTS di Malaysia yang mana politik kampusnya tidak dipengaruhi oleh politik luar.

Tetapi mungkin perkara ini sukar untuk berlaku di IPTA. Mungkin kerana kerajaan mempunyai agendanya yang tersendiri. Mungkin untuk mengawal ekstremis melampau politik dan pembangkang juga mempunyai agendanya tersendiri. Mungkin untuk menguasai golongan berilmu tinggi untuk menjadi pemimpin kumpulan mereka pada masa akan datang. Tetapi dasar-dasar inilah yang memecah-belahkan mahasiswa di IPTA akhirnya. Tidak cukup dengan tuduh-menuduh, label-melabel, fitnah-memfitnah di kalangan mahasiswa sendiri, akhirnya bergaduh pula. Dan mereka di atas yang mencapai kejayaan setelah berhempas-pulas mempengaruhi mahasiswa dengan ideologi mereka akhirnya hanya membiarkan sahaja mahasiswa manjadi begitu, nama mahasiswa juga yang buruk akhirnya.

Tetapi mengapa kita yang mahasiswa/i ini tidak pula memperjuangkan atau mencadangkan pencalonan pemimpin secara bebas tanpa ala-ala ideologi politik luar..? Kerana kita sudah dapat merasakan betapa pihak berkaitan akan begitu mengabaikan cadangan seperti ini kerana setiap daripada kita sedar mengapa IPTA lebih suka berpolitik kampus secara seperti yang sekarang ini. Atau juga, mungkin kerana mahasiswa/i sendiri yang lebih suka membawa ideologi politik luar ke dalam politik kampus dan tindakan mereka tidak dapat dikekang kerana agak ekstrim dan akhirnya memaksa keadaan untuk berlaku begini.

Akhirnya mahasiswa tetap berpecah-belah. Mungkin ketika ini kesannya hanya sedikit, tidak hebat dan boleh diabaikan. Tetapi manalah tahu kalau-kalau 10 tahun lagi ia memberi kesan yang sangat serius sehingga berlaku bunuh-membunuh sesama mahasiswa dan bakar-membakar universiti. Apakah pada ketika itu baru kita hendak bertindak..? Kalau susah-susah sangat, batalkan sahaja pilihanraya kampus.. Kan senang..

Tuesday, September 25, 2007

Komik Hong Kong vs Komik Jepun

Sedang duduk-duduk sambil mengecat buaian dihadapan rumah saya sebagai persediaan Hari Raya nanti, tiba-tiba saya teringat akan komik HunterXHunter yang sudah beberapa bulan saya menunggu volumenya yang ke-23 tapi sampai sekarang masih belum berada di pasaran. Huh, lamanya.. Tak sabar rasanya nak baca episodnya yang baru sebab ceritanya memang best. Sebab ia tak macam komik DragonBallZ yang hanya sekali baca sahaja sudah faham jalan ceritanya. Komik HunterXHunter memerlukan saya baca sehingga tiga, empat malah sepuluh kali baru boleh betul-betul faham (ke sebenarnya otak lembab ke tak taw la). Memang menguji pemikiran kita sebenarnya penulis komik tuh sebab menghasilkan idea yang pelik-pelik untuk komik tuh (rasenye la).

Kemudian saya mengimbas kembali peristiwa lalu setelah dengan tiba-tibanya satu persoalan meninjau dalam minda : "Sejak bile ek ako jadi hantu komik nih..?". Sejak dari tingkatan satu sebenarnya. Bermula dari meminjam komik abang-abang saudara, akhirnya saya membeli koleksi saya yang pertama yang tak akan saya lupa iaitu DewataRaya karya pelukis terkenal dari Hong Kong, Tony Wong. Dia memang terkenal disebabkan lukisannya yang cantik-cantik dan hensem-hensem belaka serta jalan cerita komiknya memang penuh aksi dan menarik, saya akui. Dengar cerita juga sampai ade orang yang jeles sampai nak potong tangan dier. DewataRaya mengisahkan tentang 2 orang sahabat baik HarimauHitam dan NagaMerah yang berkawan baik sejak kecil, tetapi apabila dewasa, mereka terpaksa bertarung sesama sendiri kerana masing-masing mempunyai pendirian sendiri dan tidak sehaluan.


Selain itu, saya juga telah memiliki koleksi komik Alam Perwira juga karya Tony Wong. Rasanya komik ini sangat popular, semua peminat komik Hong Kong kenal komik ini sebab ia lah yang menaikkan nama Tony Wong di Malaysia. Komik ini mengisahkan tentang kekejaman Maharaja Zhou dalam Dinasti Shang dan muncul pula Ji Fat sebagai hero untuk menyelamatkan dan akhirnya menyatukan China yang berpecah belah. Saya juga memiliki sambungannya iaitu Hikayat Maharaja Qin yang jalan ceritanya diambil dari peristiwa sejarah negara China sendiri.


Sebenarnya ade banyak lagi komik Hong Kong yang saya baca tetapi tidak semua saya beli sendiri. Bagaimanapun koleksi yang paling saya sayang sekali ialah PendekarLaut (Generasi 1, 2 dan 3) yang mana saya memiliki koleksi ini dengan lengkapnya. Sebuah karya Wan Yat Leung dan Tang Chi Fai, ia mengisahkan tentang golongan yang menggunakan kuasa putaran medan magnetik kuasa kuda (hp) dengan diwatakutamakan oleh Pai Chueng Lang selaku PendekarLaut penegak kebenaran dan apabila bertarung setiap watak akan mengeluarkan corak belang tarung mereka yang tersendiri. Sungguh bergaya...


Akhirnya saya sudah mula bosan dengan komik Hong Kong yang semakin lama semakin mahal dan jalan ceritanya yang semakin membosankan kerana kelihatan seperti kehabisan idea. Setiap komik Hong Kong keluaran baru seperti tidak akan lari dari bayangan cerita-cerita yang lepas. Lalu akhirnya saya beralih kepada komik Jepun yang memiliki harga yang lebih kurang sama tetapi jalan ceritanya lebih panjang kerana bukunya lebih tebal (sebab cetakan tidak berwarna). Bermula dengan koleksi DragonBallZ karya Akira Toriyama, cerita tentang Super Saiya Son Goku yang dikenali ramai, saya juga memiliki koleksi YuYuHakusho karya Yoshihiro Togashi, cerita tentang Yusuke bersama tiga rakan karibnya yang menentang syaitan yang sering keluar masuk ke alam manusia (macam ajaran sesat gak bunyiknya).

Sehingga kini, saya juga memiliki koleksi lengkap Rave karya Mashima Hiro, PenyiasatRemaja HajimeKindaichi dan DetektifQ karya Seimaru Amagi dan Fumiya Sato serta yang terbaru HunterXHunter yang telah saya ceritakan sebgai intro tadi, yang masih belum tamat ceritanya walaupun di Jepun. Kesemua koleksi ini saya simpan di rak buku dalam bilik saya dalam keadaan tersusun bagaikan rak buku perpustakaan UKM.


Dan untuk komik Jepun ini, koleksi yang paling saya hargai adalah HunterXHunter, PenyiasatRemaja dan DetektifQ. Kenapa..? Hanya satu sebab : komik-komik ini menjadikan saya perlu berfikir secara kreatif dan mendalam untuk menghayatinya. Ia tidak seperti DragonBallZ. Dan mungkin ada antara anda yang tertanya-tanya, jika saya meminati Hajime Kindaichi dan Q, adakah saya juga meminati DetektifConan? Jawapan saya : saya tidak berapa meminati DetektifConan kerana ceritanya yang agak tidak berapa realistik dan ade sket mengarut berbanding PenyiasatRemaja dan DetektifQ yang lebih 'truly human thinking'.

Sunday, September 23, 2007

Selamat Datang..! Meh La Masuk..!

Akhirnya berjaya... itu sajalah yang mampu saya katakan dalam hati untuk ditujukan kepada diri sendiri. Setelah lama mendaftar di blogspot, masih tiada penulisan yang dipamerkan untuk tontonan umum. Ini kerana pelbagai faktor seperti kekurangan ilmu mengenai bahan-bahan dalam komputer (betul ke istilah ni) dan juga kesibukan yang tidak menentu sering menjadi penghalang untuk saya duduk di kerusi meja komputer dan menaip untuk blog (tapi kalo men TornCity memang punctual timing). Bagaimana pun, galakan daripada kengkawan menjadi sokongan, dorongan dan segala macam gerangan untuk meneruskan kerja-kerja penulisan seperti ini terutamanya rakan seperjuangan yang baru 3 tahun saya kenal, saudara Abdul Qaiyum Borhan.

Saya teruskan lagi dengan membuat sesi LDK yang pertama iaitu pengenalan diri. Saya merupakan anak jati Melaka kerana dari keturunan saya memang dari dulu sampailah ke ibubapa saya semuanya orang Melaka. Merupakan bekas pelajar Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) dalam bidang sains hayat. Juga merupakan bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah berkonvo pada awal bulan Ogos yang lepas dalam bidang mikrobiologi. Dan kini merupakan seorang yang sedang mengusahakan ladang anggur di belakang rumah. Hahaha...

Rasanya sudah cukup molek tentang intro mengenai diri saya yang telah saya introkan tadi. Sekiranya anda ingin mengetahui lebih, silalah hubungi saya di blog saya ini. Oh ade satu lagi perkara terakhir saya ingin tambah iaitu mengenai minat saya terhadap muzik. Jika ada antara anda yang merasakan mempunyai haluan yang sama dengan saya bolehlah menghubungi saya untuk kita bersama-sama bertukar dan berkongsi pendapat (dan bukannya pasangan). Sebagai penutup untuk post saya yang pertama, nikmatilah lagu di bawah ini yang dibawakan oleh Blind Guardian, sebuah kumpulan metal yang berasal dari Jerman, dengan lagu The Bard's Song (In The Forest). Sekian.. =)



DIMANAKAH ANDA...?


Profile Visitor Map - Click to view visits